Kereta hilang kawalan akibat hujan punca nahas ragut nyawa suami isteri

KERETA dinaiki pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 72.5, Jalan Batu Pahat-Mersing hari ini dipercayai hilang kawalan ketika hujan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta Hyundai Matrix berkenaan dipercayai terbabas ke laluan lori yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun dari arah Kluang menuju Kahang.

“Kemalangan berlaku di Kilometer 72.5, Jalan Batu Pahat-Mersing, dengan siasatan mendapati lori dipandu lelaki berusia 34 tahun dari Kluang menghala ke Kahang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta terbabit hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan (laluan lori),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, sepasang suami isteri maut manakala dua anak perempuan mereka cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Jalan Mersing berhampiran Felcra Berhad Sungai Kahang di Kluang petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang maut ialah Mislan Osman, 54, dan isterinya, Nor Azilah A Rahman, 49.

Menurut Bahrin, keadaan jalan yang licin akibat hujan dipercayai antara faktor menyebabkan kenderaan berkenaan hilang kawalan.

Beliau berkata, dua anak perempuan mangsa yang duduk di belakang, Radiah, 24, dan Syahida, 21, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, manakala pemandu lori tidak cedera.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here