SEEKOR anjing pengesan menemukan mayat seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kebun sayur di Tanah Tinggi Lojing, di Gua Musang pada Jumaat lalu, hari ini.
Md Fahad Hossan, 27, ditemukan pada jam 12.55 tengah hari berdasarkan isyarat daripada anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Frankie.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, operasi menggali timbunan tanah menggunakan jengkaut bermula kira-kira jam 8.55 pagi tadi.
Katanya, Frankie memberikan isyarat di satu lokasi yang dipercayai mempunyai kedudukan mangsa sebelum kerja penggalian menggunakan jengkaut dijalankan.
“Berdasarkan isyarat anjing K9, pasukan SAR menjalankan kerja penggalian di lokasi berkenaan dan mayat mangsa akhirnya ditemukan pada jam 12.55 tengah hari.
“Mayat pekerja itu kemudian berjaya dikeluarkan dari timbunan tanah sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua itu diteruskan hari ini dengan menggunakan jengkaut.
Operasi yang bermula kira-kira jam 8 pagi itu turut membabitkan tiga ekor anjing pengesan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Mohd Rosmaidi Baharuddin berkata, operasi hari ini membabitkan 20 anggota bomba, termasuk daripada Pasukan Operasi Taktikal Khas dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan K9.
Media pada Jumaat lalu melaporkan, seorang lelaki warga asing dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh membabitkan sebuah rumah kongsi di kawasan kebun sayur Tanah Tinggi Lojing di Gua Musang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 4.12 petang.
Susulan itu, katanya, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 92 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.





