SAR hari kedua warga asing tertimbus, jengkaut dan tiga anjing K9 digunakan

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang warga asing yang dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kebun sayur di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang diteruskan yang memasuki hari kedua hari ini dengan bantuan jengkaut dan tiga anjing pengesan K9.

Operasi bermula kira-kira jam 8 pagi itu melibatkan 20 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk pasukan Pasukan Operasi Taktikal Khas dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Komander Operasi, Penguasa Bomba Mohd Rosmaidi Baharuddin berkata, jentera berat digunakan bagi membantu kerja menggali timbunan tanah yang runtuh untuk mencari mangsa.

“Selain anggota bomba, operasi turut membabitkan anggota polis dan pekerja kebun sayur di kawasan itu. Operasi kali ini turut dibantu tiga anjing pengesan K9.

“Bagi menggali tanah yang runtuh setinggi kira-kira 50 meter untuk mencari mangsa, bantuan jentera berat iaitu jengkaut turut digunakan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Kelmarin, media melaporkan seorang lelaki warga asing dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika berada di sebuah rumah kongsi di kebun sayur Tanah Tinggi Lojing.

JBPM menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.12 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 92 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.

Operasi SAR diteruskan hari ini bagi mengesan mangsa yang masih belum ditemukan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here