Sindiket judi sabung ayam tumpas, 41 individu ditahan

KEGIATAN perjudian sabung ayam yang dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah pondok dalam satu operasi di Batu Gajah, Perak semalam.

Serbuan kira-kira jam 7 malam itu membabitkan Bahagian D7 dan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, operasi itu membawa kepada penahanan 40 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang dipercayai menjadi penganjur dan pemilik premis turut ditahan bersama dua individu lain yang dipercayai berperanan sebagai pengadil serta pembantu penganjur.

“Polis turut merampas beberapa barangan serta wang tunai berjumlah RM114,211 yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan dipercayai sudah berlangsung sejak awal 2026, dengan nilai pertaruhan bagi satu pusingan dilaporkan mencecah sehingga RM20,000.

Kes ini, kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tambahnya lagi, polis turut menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 berkaitan kesalahan menjalankan usaha niaga pelagaan haiwan.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah akta berkenaan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagi lelaki warga Indonesia yang ditahan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki, tinggal atau berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.

Kesalahan berkenaan boleh membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain sebatan sehingga enam kali.

Mohd Alwi berkata, Polis Perak akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan perjudian haram serta aktiviti yang melibatkan penganiayaan haiwan.

Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan kegiatan seumpama itu tidak menjadi ruang untuk berkembang di negeri berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here