Axia masuk laluan bertentangan dipercayai punca nahas ragut empat nyawa

SEBUAH kereta Perodua Axia yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Tasik Banding di Gerik hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 38.5 JRTB itu turut membabitkan sebuah Proton Persona serta lori.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Perodua Axia terbabit dipandu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun bersama empat penumpang dari arah Gerik menuju Jeli, Kelantan.

“Kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian sisi belakang Proton Persona.

“Selepas itu, Axia berkenaan sekali lagi hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan lori yang berada di belakang Proton Persona. Pelanggaran menyebabkan kenderaan berkenaan diseret kira-kira tiga hingga tujuh meter,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Empat penumpang yang berada dalam Axia terdiri daripada seorang lelaki berusia 31 tahun, wanita berusia 40 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun dan perempuan berusia tiga tahun.

Mohd Alwi berkata, empat mangsa masing-masing berusia tiga, 19, 31 dan 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi penumpang, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Dalam pada itu, pemandu Proton Persona berusia 20 tahun bersama tiga penumpangnya tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu lori berusia 42 tahun dan kelindan berumur 34 tahun turut selamat.

Menurutnya, polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan mengesan saksi bebas yang mungkin mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu.

Pihak polis turut berusaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu melengkapkan siasatan.

Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here