Hubungan akrab Agong-Raja Bahrain beri manfaat kepada Malaysia – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta hubungan erat baginda dengan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa yang menyumbang kepada pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026.

Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook malam ini berkata, beliau turut mengiringi Yang di-Pertuan Agong menyaksikan perlumbaan berkenaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Beliau turut berkesempatan beramah mesra dengan beberapa tetamu diraja yang hadir menyaksikan perlumbaan itu, termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta tetamu kehormat lain.

“Saya menjunjung kasih atas kepimpinan dan kebijaksanaan Tuanku Agong serta hubungan akrab baginda dengan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, yang memungkinkan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026,” katanya dalam hantaran itu.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Menurut Anwar, pemilihan Malaysia sebagai lokasi penganjuran perlumbaan berkenaan memperlihatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan negara untuk menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia.

Katanya, perkembangan itu turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati dan dipercayai di peringkat antarabangsa.

“Pemilihan ini mencerminkan kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara kita sebagai rakan yang dihormati dan diyakini di persada dunia,” katanya.

Anwar turut berharap penganjuran perlumbaan berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala yang lebih erat antara Malaysia dan Bahrain.

“Semoga kerjasama ini terus memperkukuh persahabatan Malaysia dan Bahrain, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Sepang berlangsung hari ini selepas Malaysia dipilih sebagai venue alternatif berikutan keadaan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan penganjuran perlumbaan di Bahrain.

Kepulangan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun itu mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 100,000 peminat hadir menyaksikan perlumbaan berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here