Warga emas rugi RM367,950 diperdaya kenalan WhatsApp

SEORANG warga emas mendakwa kerugian RM367,950 selepas wang hasil penjualan tanah dan simpanannya lesap akibat diperdaya individu yang dikenalinya menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia lingkungan 70-an membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 11.49 pagi semalam.

ASISTEN Komisioner Azli Mohd Noor

Menurutnya, kejadian bermula pada 31 Julai lalu apabila mangsa menerima mesej WhatsApp daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Via’ ketika berada di rumah.

Katanya, wanita terbabit pada awalnya mendakwa tersalah menghantar mesej kepada mangsa kerana menyangka nombor berkenaan milik seorang kontraktor bernama ‘Mahdir’.

“Daripada perkenalan itu, suspek mula menjalinkan hubungan rapat dengan mangsa sebelum menawarkan satu skim pelaburan yang kononnya mampu menjana pendapatan.

“Dalam tiga transaksi pertama, mangsa menerima pulangan wang dan keadaan itu menyebabkan mangsa semakin yakin dengan pelaburan berkenaan,” katanya.

Azli berkata, suspek kemudian meminta mangsa membuat pembayaran modal secara berperingkat ke beberapa akaun bank yang didakwa digunakan sebagai perantara bagi skim pelaburan tersebut.

Menurutnya, antara 22 Ogos hingga 30 September lalu, mangsa melakukan sebanyak 72 transaksi ke 13 akaun penerima dengan jumlah keseluruhan RM367,950.

“Bagaimanapun, selepas semua transaksi dibuat, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dimaklumkan bahawa jumlah modal bersama keuntungan dalam platform berkenaan telah terkumpul melebihi RM800,000 dan boleh dikeluarkan.

“Namun, apabila mangsa cuba membuat pengeluaran, pengendali platform utama memaklumkan akaun mangsa mengalami masalah ‘have abnormal relationship between funds and tax’.

“Pengendali platform itu kemudian meminta mangsa membayar tambahan RM80,765 sebagai bayaran proses bagi membolehkan wang berkenaan dikeluarkan,” katanya.

Bagaimanapun, Azli berkata, mangsa tidak meneruskan pembayaran tersebut selepas menyedari pengendali platform berkenaan seolah-olah sengaja mengenakan bayaran tambahan dengan pelbagai alasan bagi menghalang pengeluaran wang pelaburan.

Katanya, mangsa memaklumkan wang yang dilaburkan itu adalah hasil penjualan tanah selain simpanannya.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here