SEORANG kontraktor pendawaian mendakwa kerugian lebih RM50,400 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menggunakan tawaran tender palsu membabitkan pembekalan peralatan jana kuasa mudah alih (portable charger).
Mangsa seorang lelaki berusia 52 tahun itu tampil membuat laporan polis pada jam 3.58 petang semalam mendakwa mengalami kerugian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada 14 Julai lalu ketika mangsa berada di pejabatnya di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu sebelum menerima e-mel sebut harga berkaitan pemasangan lampu jalan solar LED di bawah peruntukan khas Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).
“Susulan itu, mangsa menghubungi seorang individu dikenali sebagai Nik Syahril yang mendakwa dirinya kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Suspek kemudian menawarkan peluang kepada mangsa untuk membekalkan tiga unit portable charger Anker Solix F3800 pada harga RM16,800 seunit serta memperkenalkan sebuah syarikat pembekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azli, mangsa kemudian berurusan dengan seorang lagi individu dikenali sebagai James menerusi aplikasi WhatsApp sebelum membuat dua transaksi ke akaun RHB Bank milik syarikat berkenaan pada Khamis lalu.
Katanya, transaksi pertama membabitkan pembayaran RM40,400 diikuti RM10,000 menjadikan keseluruhan bayaran berjumlah RM50,400 yang menggunakan wang simpanan perniagaan mangsa.
“Bagaimanapun semalam, mangsa cuba menghubungi semula pembekal terbabit, namun mendapati semua saluran komunikasi disekat sebelum menyedari menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, tambah beliau.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membuat semakan terhadap sebarang tawaran tender atau pembekal dengan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.






