Pelajar bertindak agresif: Polis sahkan tiada unsur buli, mangsa alami skizofrenia

POLIS Terengganu mengesahkan tiada unsur buli dalam kes seorang pelajar perempuan yang diselamatkan ketika bertindak agresif di sebuah sekolah di Kuala Terengganu semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, siasatan awal mendapati pelajar berusia 14 tahun itu menghidap skizofrenia sejak Mei lalu dan keadaan kesihatannya diketahui ibu bapanya serta pihak pentadbiran sekolah.

Beliau berkata, pelajar tingkatan dua terbabit kini menerima rawatan dan pemantauan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

“Pelajar itu menerima rawatan terakhir pada 14 Julai lalu dan dijadualkan menjalani rawatan susulan pada 15 September depan.

“Pihak sekolah turut merujuk pelajar itu kepada guru kaunseling sebanyak 11 sesi selain mengadakan lima sesi konsultasi bersama ibu bapa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Mohd Zulkafli Jusoh dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor yang menyelamatkan pelajar itu semalam.

Media semalam melaporkan, tindakan pantas Azli berjaya menenangkan remaja berkenaan yang berada dalam keadaan beremosi di tingkat dua bangunan sekolah tersebut.

​Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Azli mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk dan meredakan emosi pelajar berkenaan yang dipercayai mengalami tekanan dan kemurungan.

Mohd Khairi dalam pada itu berkata, pihak sekolah turut melaksanakan beberapa langkah keselamatan termasuk menempatkan kelas pelajar itu di aras bawah, menjalankan pemantauan harian oleh guru kaunseling serta meminta rakan-rakan sentiasa menemaninya.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan dan kawalan, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau perkembangan kes berkenaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memuat naik atau menyebarkan gambar, video atau kandungan berkaitan kejadian ini di media sosial kerana perbuatan itu boleh mengaibkan mangsa dan keluarganya, selain boleh dikenakan tindakan undang-undang jika melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Mohd Khairi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih serta mengeluarkan komen negatif yang boleh mengganggu emosi keluarga mangsa dan menjejaskan proses rawatan serta pemulihannya.

Beliau turut menyeru semua pihak menghormati privasi mangsa dan keluarganya serta memberi ruang kepada pihak hospital meneruskan rawatan di samping membolehkan polis menjalankan pemantauan sewajarnya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img