KEMATIAN tragis pelajar Tingkatan Empat, Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah di Yong Peng Sabtu lalu amat mengejutkan dan mendukacitakan.
Pengerusi Majlis Perhubungan Parti Wawasan Negara Negeri Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, kejadian berkenaan turut mengundang kesedihan yang mendalam kepada keluarga Allahyarham.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Irene Sofiya serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.
Menurutnya, sekolah seharusnya menjadi antara tempat paling selamat untuk anak-anak selepas kediaman mereka sendiri.
“Justeru, kejadian ini tidak boleh dilihat sebagai satu kes terpencil semata-mata kerana ia menuntut penelitian serius terhadap aspek kawalan keselamatan, pemantauan kehadiran murid serta pengawasan ketika kelas tambahan.
“Saya menyambut baik arahan supaya siasatan dijalankan dengan segera, menyeluruh dan telus, selain langkah Kementerian Pendidikan untuk meneliti setiap aspek pengurusan serta keselamatan sekolah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Zulkifli meminta semua pihak memberikan ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan dan melengkapkan siasatan tanpa membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Katanya, kes berkenaan perlu diadili berdasarkan bukti dan undang-undang bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk Allahyarhamah dan keluarganya, tanpa menafikan hak mana-mana pihak yang terlibat dalam proses perundangan.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud sebarang kecuaian, kelemahan prosedur atau kegagalan melaksanakan tanggungjawab, tindakan pembetulan dan pertanggungjawaban perlu diambil dengan tegas.
“Kita tidak boleh menunggu satu lagi tragedi berlaku sebelum kelemahan yang ada ditangani,” katanya.
Beliau berkata, pemergian Allahyarham Irene Sofiya sewajarnya menjadi titik perubahan dalam usaha memperkukuh aspek keselamatan di sekolah.
Katanya, setiap ibu bapa berhak menghantar anak mereka ke sekolah dengan keyakinan bahawa keselamatan dan kebajikan anak-anak sentiasa diberikan keutamaan.
“Semoga Allah SWT mengampuni Allahyarhamah Irene Sofiya, merahmati rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman. al-Fatihah,” katanya.





