KERAJAAN negeri menegaskan bahawa sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah tidak akan dikompromi susulan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kejadian itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti punca dan keadaan sebenar yang berlaku.
“Sebarang dakwaan sama ada kejadian berkenaan mempunyai unsur buli, keganasan atau jenayah perlu ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa dan bukannya melalui spekulasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Empat ditemukan meninggal dunia dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng semalam.
Remaja berusia 16 tahun itu, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal ditemukan sudah tidak bernyawa dalam dewan di sekolah terbabit pada sebelah petang.
Muhammad Naqib dalam pada itu menegaskan bahawa keselamatan warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat turut diarahkan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Pada masa sama, kedua-dua agensi berkenaan diminta memastikan sokongan sewajarnya diberikan kepada keluarga mangsa serta warga sekolah yang terkesan dengan tragedi tersebut.
Beliau berkata, institusi pendidikan seharusnya menjadi persekitaran yang selamat untuk setiap anak Johor mendapatkan pendidikan, membina masa depan serta menjalani kehidupan persekolahan dalam suasana yang terjamin.
Sehubungan itu, kerajaan negeri bersama JPNJ dan agensi berkaitan akan terus memantau aspek keselamatan di sekolah serta mengambil tindakan susulan yang bersesuaian berdasarkan dapatan siasatan pihak berkuasa.
Muhammad Naqib turut menasihatkan orang awam dan pengguna media sosial supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat kesimpulan awal yang berpotensi menjejaskan siasatan.
Dalam kesempatan sama, beliau menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa atas kehilangan yang amat menyedihkan itu.





