Oleh: Syahir Sulaiman
EKONOMI Malaysia berkembang 6% pada suku kedua 2026, jauh mengatasi jangkaan. Pasaran buruh juga kelihatan stabil, dengan kadar pengangguran sekitar 3%.
Nilai ringgit kekal kukuh sepanjang tahun ini walaupun berdepan keadaan global yang tidak menentu. Pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2026 kekal mampan, berjumlah RM218.5 bilion. Walaupun pencapaian ini membanggakan, pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat yang masih berdepan tekanan kos sara hidup.
Persoalannya, ramai rakyat tidak merasai manfaat pertumbuhan ini, malah tidak mengendahkan angka rasmi kerajaan yang dilaporkan indah ini. Mengapa?
Menjelang Belanjawan 2027, tujuh realiti ini perlu diberikan perhatian.
1. Ruang fiskal kerajaan semakin terhad. Defisit fiskal turun secara konsisten daripada 6.4% pada 2021 kepada 3.7% pada 2025. Susulan peningkatan harga minyak dunia, Kementerian Kewangan (MOF) menganggarkan subsidi bahan api boleh mencecah RM40 bilion tahun ini, terutamanya bagi petrol dan diesel.
2. Kos sara hidup terus membebankan isi rumah. Rakyat berdepan perbelanjaan harian yang meningkat, meskipun kadar inflasi rasmi (IHP) hanya 1.8% pada Julai. Kadar inflasi yang rendah tidak semestinya menggambarkan tekanan kos sara hidup yang dialami setiap isi rumah, kerana corak dan komposisi perbelanjaan adalah berbeza.
3. Lebih ramai pekerja kehilangan pekerjaan. Seramai 68,177 pekerja kehilangan pekerjaan antara Januari hingga September tahun ini, dalam pelbagai sektor ekonomi. Mereka yang terjejas memerlukan intervensi dan sokongan sementara untuk kembali ke pasaran pekerjaan.
4. Perniagaan kecil berdepan tekanan. Perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), berdepan kenaikan kos input serta permintaan yang semakin lemah. Pada masa yang sama, persaingan daripada platform e-dagang serta kemasukan jenama luar dalam sektor makanan dan kepenggunaan turut memberi tekanan kepada pengusaha tempatan.
5. Isi rumah termiskin hampir tiada baki selepas berbelanja. Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) melaporkan, baki purata isi rumah dalam kumpulan 10% berpendapatan terendah merosot sebanyak 81% dalam tempoh lima tahun, daripada RM219 pada 2019 kepada hanya RM41 pada 2024 selepas mengambil kira perbelanjaan.
6. Upah rendah masih meluas. DOSM melaporkan median upah bulanan pekerja sektor formal ialah RM3,027 pada Mac 2026. Ini bermakna separuh daripada pekerja sektor formal memperoleh RM3,000 atau kurang. Dalam taburan yang sama, 10% pekerja memperoleh kurang daripada RM1,700, manakala 20% memperoleh kurang daripada RM1,800.
7. Ramai pekerja p-hailing muda bergantung pada ekonomi gig. Survei Pekerja P-Hailing DOSM mendapati 97% pekerja p-hailing ialah golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun, dan majoriti tidak mempunyai simpanan. Bagi 70% daripada mereka, kerja gig merupakan pekerjaan utama, manakala 74% menjadikannya sumber pendapatan utama.
Berdasarkan tujuh realiti ekonomi ini, Belanjawan 2027 perlu terus mengimbangi disiplin fiskal dengan keperluan menyokong pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Terpenting, Belanjawan 2027 perlu mengiktiraf peranan golongan pertengahan (M40), dengan menyediakan ‘pakej sokongan’ yang lebih bersasar bagi meringankan tekanan kewangan yang semakin dirasai.
Kos penjagaan kesihatan, penjagaan anak dan pendidikan, selain komitmen perumahan, mengambil bahagian yang semakin besar daripada pendapatan isi rumah. Ramai juga tergolong dalam ‘generasi sandwic’ yang menyara anak-anak dan ibu bapa yang semakin berusia.
Tekanan ini dijangka meningkat apabila Malaysia beralih ke arah masyarakat menua. Ketua isi rumah yang bekerja bakal memikul tanggungjawab penjagaan dan komitmen kewangan yang lebih besar.
Menjelang Belanjawan 2027, tumpuan perlu diberikan kepada pendapatan isi rumah, kestabilan pekerjaan dan tekanan kos sara hidup, khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan sederhana (M40) yang menjadi tulang belakang pertumbuhan ekonomi negara.
*Penulis adalah Ahli Parlimen Bachok





