RAKYAT Malaysia yang berada di luar negara masih tidak diwajibkan mendaftar menerusi sistem e-Konsular, namun mereka digalakkan menggunakan kemudahan itu bagi memudahkan kerajaan memberikan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan ketika ini belum mempertimbangkan untuk menjadikan pendaftaran platform digital kendalian Kementerian Luar itu sebagai satu keperluan mandatori.
Katanya, maklumat yang diberikan menerusi e-Konsular membolehkan kedutaan dan pejabat perwakilan Malaysia mengetahui keberadaan rakyat negara ini di luar negara serta menghubungi mereka ketika berdepan situasi luar jangka.
“Belum sampai lagi, kita belum pertimbangkan untuk memohon kerajaan menjadikannya mandatori, tetapi kita berharap pelancong dan rakyat Malaysia di luar negara menggunakan kemudahan ini.
“Aplikasi e-Konsular memudahkan pihak kedutaan dan pejabat perwakilan negara untuk mengetahui keberadaan rakyat kita, membolehkan kita berhubung sekiranya berlaku sebarang krisis, bencana alam atau kecemasan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai kemungkinan kerajaan mewajibkan pendaftaran e-Konsular bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
Sebelum itu, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan memperkukuh sistem pendaftaran rakyat Malaysia yang melancong atau menetap di luar negara supaya tindakan bantuan dapat disalurkan dengan lebih pantas ketika berlaku tragedi, bencana atau kecemasan.
Mengulas fungsi MyWorldAlert yang kini disepadukan dengan e-Konsular, Mohamad berkata, aplikasi berkenaan berperanan sebagai saluran komunikasi pantas berasaskan GPS.
Menurutnya, sistem tersebut membolehkan maklumat serta amaran penting disampaikan kepada rakyat Malaysia dengan segera ketika berlaku keadaan yang memerlukan tindakan pantas.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan turut menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, termasuk membantu menghubungkan mereka dengan keluarga serta memudah cara urusan kutipan atau penyediaan dana.
Bagaimanapun, katanya, bantuan kerajaan tidak merangkumi tanggungan keseluruhan beban kewangan individu yang terlibat.
Beliau berkata, bantuan tetap diberikan dalam kes tertentu, termasuk rakyat Malaysia yang terkandas di Jeddah dan Madinah selepas menjadi mangsa penipuan ejen tidak sah yang hanya menyediakan tiket perjalanan sehala.
Sementara itu, menyentuh perkembangan tragedi banjir di Nepal pada 26 Ogos lalu, Mohamad berkata, seramai 54 rakyat Malaysia masih dikategorikan sebagai belum dapat dikesan atau hilang.
Katanya, walaupun kerajaan Nepal sudah menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan memasuki fasa pemulihan, usaha mengesan rakyat Malaysia terbabit masih diteruskan.
“Kita tidak berputus asa dan masih berhubung dengan polis tempatan bagi menyemak buku pendaftaran di setiap pos laluan pendakian,” katanya.
Mohamad berkata, Wisma Putra bersama beberapa agensi tempatan termasuk Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara turut membantu urusan waris, khususnya berkaitan permohonan pelepasan sijil kematian dengan pihak berkuasa berkaitan di Nepal.





