SEORANG bekas pegawai pemasaran dihukum penjara lima tahun selepas didapati bersalah menipu syarikat tempatnya bekerja sehingga mengalami kerugian lebih RM6.2 juta dalam tempoh kira-kira setahun.
Mok Chuang Leon, 38, turut dikenakan satu sebatan bagi setiap 26 pertuduhan yang dihadapinya, namun jumlah sebatan yang boleh dilaksanakan dihadkan kepada maksimum 24 sebatan mengikut peruntukan undang-undang.
Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Bagi setiap pertuduhan, Chuang Leon dikenakan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan, dengan kesemua hukuman penjara diarahkan berjalan serentak.
Mahkamah menetapkan had maksimum 24 sebatan selaras dengan Seksyen 288(5) Kanun Tata Cara Jenayah (KTJ).
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan kerani syarikat dengan mengemukakan penyata bulanan jualan buah kelapa sawit yang tidak benar daripada dua syarikat miliknya, Ampel Agent dan Sawit Borneo Sdn Bhd.
Perbuatan itu menyebabkan syarikat menyerahkan wang berjumlah RM6,212,266.84 kepada tertuduh.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku di sebuah premis di Perdana Square Commercial Centre, Batu 3½, Jalan Apas, Tawau antara Februari 2023 hingga Februari 2024.
Chuang Leon didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.
Perbicaraan kes bermula pada 24 April 2025 dengan pihak pendakwaan mengemukakan keterangan 24 saksi. Pihak pembelaan pula hanya memanggil tertuduh sebagai saksi tunggal.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly manakala tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye.
Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, pembelaan memaklumkan kira-kira RM1.2 juta daripada jumlah kerugian sudah dikembalikan kepada syarikat.
Peguam berhujah pembayaran semula itu wajar dipertimbangkan sebagai faktor mitigasi, selain keadaan peribadi tertuduh yang merupakan bapa tunggal kepada seorang anak lelaki berusia 10 tahun.
Pihak pembela turut memohon supaya pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara proses rayuan terhadap sabitan difailkan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut dengan syarat notis rayuan difailkan pada hari yang sama.
Bagaimanapun, jumlah serta syarat jaminan sedia ada dikekalkan sehingga rayuan berkenaan diputuskan.





