Polis sudah rakam keterangan 25 individu dalam siasatan kes AKPS

SEBANYAK 25 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya juga turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta laporan perubatan sebagai sebahagian daripada bahan bukti bagi memastikan siasatan terhadap kes berkenaan dijalankan secara menyeluruh.

“Setakat ini, kita sudah mengambil 25 keterangan daripada pihak-pihak yang hadir semasa kejadian berlaku,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Buku Panduan Jururunding PDRM Sempena Ulang Tahun ke-2 Sel Jururunding PDRM di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Khalid berkata, rakaman CCTV dan laporan doktor berkenaan akan diteliti bersama keterangan saksi bagi membantu polis mendapatkan gambaran lengkap mengenai kejadian.

“Pada masa sama, kita sudah mendapatkan rakaman CCTV dan laporan doktor bagi memastikan segala perkara berkaitan kes ini dapat dipertimbangkan dan disiasat dengan baik supaya berlaku keadilan yang sewajarnya,” katanya.

Mohd Khalid turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau membuat kesimpulan berhubung kes berkenaan sebelum siasatan selesai.

Katanya, polis perlu diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara teliti dan adil supaya semua pihak yang terlibat mendapat keadilan sewajarnya.

Mengenai penugasan Travel Control Officers (TCO) yang turut dikaitkan dengan kes itu, beliau menjelaskan pegawai berkenaan berada di bawah Cawangan Khas dan bertanggungjawab menjalankan tugas berkaitan risikan.

“Mereka ini adalah mereka yang berkaitan dalam penugasan untuk mendapatkan intel atau inteligen (risikan). Mendapatkan inteligen tidak kira di mana mereka berada, mengadakan perhubungan antara satu sama lain, tindakan untuk litupan dan sebagainya.

“Ini adalah perkara yang biasa dilaksanakan oleh pegawai dan anggota,” jelasnya.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih diperlukan bagi menentukan sama ada terdapat tugas tertentu yang dilaksanakan di bangunan TCO atau KLIA yang mungkin berada di luar bidang kuasa pegawai terbabit.

“Dari segi kebiasaannya, ia tidaklah melanggar apa-apa SOP. Tetapi mungkin ada perkara-perkara di dalam bangunan TCO itu sendiri ataupun di bangunan KLIA yang memerlukan pelaksanaan tugas dalam bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Mohd Khalid berkata, kertas siasatan akan disiapkan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here