SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam usaha memperluas pendidikan integriti dan pencegahan rasuah berteraskan nilai Islam.
Usaha itu turut memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus dan pengurusan sumber yang melibatkan kepentingan masyarakat, termasuk pengurusan zakat, dana awam oleh badan bukan kerajaan (NGO) serta pengurusan kewangan dan aset digital dari perspektif syariah.

Kunjungan Hormat SPRM Selangor ke Jabatan Mufti Negeri Selangor hari ini diketuai Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli bersama Timbalan Pengarah (Operasi), Khairul Izwan Karim dan disambut Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.
Pertemuan itu berlangsung dalam suasana muhibah dengan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai isu semasa yang mempunyai kepentingan kepada masyarakat.
Menurut Mohd Azwan, perbincangan turut menekankan kepentingan nilai amanah, integriti dan ketelusan dalam pengurusan sumber serta pelaksanaan tanggungjawab yang berkaitan dengan kepentingan awam.
Katanya, pendekatan pendidikan dan penghayatan nilai murni dalam Islam juga mempunyai peranan penting dalam memperkukuh usaha pencegahan rasuah.
Hasil pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju memperluas kerjasama menerusi pelaksanaan program perkongsian ilmu yang memberi fokus kepada integriti dan pencegahan rasuah dari perspektif Islam.
Kerjasama berkenaan diharap menjadi asas kepada lebih banyak perkongsian ilmu serta inisiatif bersama bagi menyemai budaya integriti dan antirasuah dalam kalangan warga kerja serta masyarakat di Selangor.





