SEORANG lelaki warga emas berusia 71 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap anak majikannya di dalam tandas sebuah pusat beli-belah, minggu lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 18 tahun di dalam tandas lelaki di tingkat dua sebuah pusat beli-belah, kira-kira jam 4.30 petang, 1 Oktober lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa pada masa dan lokasi sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen, manakala tertuduh diwakili peguam K Mahendran.
Pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh kini tidak mempunyai pekerjaan dan ditanggung anaknya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin warga Malaysia.
Tertuduh turut diarahkan melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 16 November depan untuk serahan dokumen, lapor BH.
Pada 2 Oktober lalu, media melaporkan seorang pekerja kedai makan berusia 71 tahun direman selama tujuh hari kerana disyaki merogol anak perempuan majikannya berusia 18 tahun di dalam tandas sebuah pusat beli-belah.





