SEORANG suri rumah kerugian lebih RM650,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan yang diiklankan menerusi media sosial Facebook, sejak Mei lalu.
Menurut sumber, kejadian berlaku pada 16 Mei lalu ketika wanita berusia 58 tahun itu berada di rumahnya di Salak Selatan sebelum melihat iklan berkaitan tawaran pelaburan di Facebook.
“Mangsa kemudian menekan butang pautan dan menyertai kumpulan WhatsApp sebelum diterangkan mengenai pelaburan yang ditawarkan.
“Mangsa kemudian bersetuju untuk melabur dan membuat bayaran perkhidmatan sebelum dia diminta memasang aplikasi bagi tujuan pelaburan,” katanya, lapor Harian Metro.
Sumber berkata, mangsa kemudian membuat beberapa pembayaran ke akaun bank diberikan bagi tujuan pelaburan berjumlah RM350,000.
“Mangsa pada mulanya mendapat pulangan keuntungan sebanyak RM20,000 namun pada 17 Ogos lalu, syarikat pelaburan terbabit menghentikan pelaburan.
“Mangsa kemudian menghubungi syarikat terbabit sebelum dimaklumkan perlu membayar 50 peratus daripada yuran perkhidmatan sekiranya ingin mengeluarkan wang pelaburan itu,” katanya.
Katanya, mangsa kemudian sekali lagi membuat pembayaran lebih RM300,000 namun wang pelaburan berkenaan tidak dikembalikan.
“Mangsa yang berasa ditipu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan Jumaat lalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.





