TIGA individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kira-kira RM155,000.
Kes berkenaan dipercayai berkaitan pemberian dan penerimaan rasuah sebagai balasan meluluskan sebut harga pembekalan baju sukan.
Perintah reman terhadap dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu dikeluarkan Majistret Eliana Ismail sehingga 10 Oktober 2026, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi.
Kesemua suspek ditahan pada kira-kira jam 5 petang dan 9 malam tadi ketika hadir untuk memberikan keterangan di pejabat SPRM Kedah.
Menurut SPRM, siasatan awal mendapati mereka dipercayai bersubahat dalam kegiatan berkenaan yang dipercayai berlaku antara 2024 hingga 2025.
Bagi dua suspek yang terdiri daripada penjawat awam, mereka disyaki menerima wang rasuah secara tunai selain melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Menurut beliau, kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan transaksi serta pihak lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.





