Polis rampas 21 botol disyaki air ketum di Puchong

POLIS merampas 21 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum dalam pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Langkas Tambahan, Jalan Andalas Utama, Puchong, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, pemeriksaan itu dijalankan kira-kira jam 9 malam oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bersama pegawai dan anggota Balai Polis Bukit Puchong.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan susulan maklumat orang awam yang memaklumkan penemuan beberapa botol disyaki berisi air ketum di Kampung Seri Langkas, Puchong Permai ketika melakukan siaran langsung di platform TikTok.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah tersebut, polis menemui dan merampas satu bekas plastik bertutup warna kuning yang mengandungi 21 botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum.

“Anggaran berat rampasan ialah 10,500 liter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, ketika polis tiba di rumah berkenaan, tiada individu berada di dalam premis terbabit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan masih dalam siasatan.

Polis turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras aktiviti pengedaran bahan terlarang dan jenayah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here