Peguam keluarga gesa kematian lelaki dalam tahanan disiasat sebagai kes bunuh

PEGUAM kepada keluarga seorang lelaki yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Noorizwan Zulkefly, 42, disahkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz selepas dibawa dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Peguam keluarga, N Surendran berkata, sehingga kini keluarga masih tidak mendapat penjelasan mengenai sebab Noorizwan ditahan pada 20 September lalu atau kesalahan yang didakwa dilakukan olehnya.

Menurutnya, laporan pakar patologi memaklumkan kematian Noorizwan berpunca daripada hentakan benda tumpul yang mengakibatkan kecederaan serius, termasuk enam hingga tujuh tulang rusuk patah serta kecederaan pada bahagian tulang belakang.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai apa yang berlaku terhadap lelaki berkenaan sepanjang berada dalam tahanan serta tahap pemantauan yang diberikan.

“Kecederaan yang dialaminya menimbulkan persoalan mengenai kejadian sepanjang tempoh tahanan dan bagaimana pemantauan terhadap dirinya dilakukan,” katanya dalam sidang media di pejabat Lawyers for Liberty (LFL) di Petaling Jaya hari ini, lapor FMT.

Sehubungan itu, Surendran berkata, siasatan perlu dijalankan sebagai kes bunuh dan dikendalikan pasukan bebas yang tidak mempunyai kaitan dengan pengurusan tahanan berkenaan.

Beliau turut menggesa Ketua Polis Negara mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan supaya siasatan diambil alih pasukan bebas di peringkat Bukit Aman.

Dalam pada itu, adik Noorizwan, Nooranis mendakwa, pihak keluarga tidak dimaklumkan mengenai penahanan abangnya dan tidak mengetahui lokasi dia ditempatkan sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, Noorizwan dipercayai berada dalam tahanan selama kira-kira 12 hari sebelum keluarga menerima berita mengenai kematiannya.

“Keluarga tidak tahu dia ditahan di mana sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Nooranis berkata, keluarga hanya dimaklumkan mengenai kematian abangnya menerusi panggilan daripada seorang pegawai polis Bukit Aman pada malam 1 Oktober.

Keluarga kini mahu mendapatkan penjelasan mengenai sebab Noorizwan ditahan serta perkara yang berlaku terhadapnya sepanjang berada dalam tahanan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here