Dua pengarah syarikat bakal didakwa esok berkaitan isu baja Kedah

SEORANG pengarah urusan dan seorang pengarah syarikat yang dikaitkan dengan isu kelewatan pembekalan baja di Kedah dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, esok.

Kedua-dua individu itu akan didakwa susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh izin daripada Pendakwa Raya untuk meneruskan tindakan pendakwaan.

Prosiding terhadap kedua-dua orang kena tuduh (OKT) itu dijadualkan bermula jam 9 pagi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pertuduhan berkenaan akan berlangsung di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 8 Oktober 2026.

Sebelum ini, pada 12 September lalu, seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembekal baja ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan kelewatan pengagihan input pertanian di Kedah.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dilaporkan hadir ke Pejabat SPRM Kedah bagi memberikan keterangan sebelum ditahan.

Dalam perkembangan siasatan sebelum ini, SPRM memaklumkan seramai 13 saksi telah dipanggil dan dirakam keterangan, termasuk Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Siasatan awal mendapati sebuah syarikat berkenaan sepatutnya membekalkan sebanyak 616,015 beg baja sepanjang musim terbabit.

Bagaimanapun, sehingga September lalu, jumlah yang dibekalkan hanya 333,655 beg, sekali gus mencatat kekurangan sebanyak 282,360 beg.

Siasatan itu bermula susulan aduan yang dibuka pada 26 Ogos lalu berhubung dakwaan kegagalan syarikat pembekal yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membekal, menghantar dan mengedar Baja 3 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan MADA.

Pembekalan berkenaan membabitkan kawasan seluas kira-kira 100,000 hektar bagi keperluan tanaman Musim 1 dan Musim 2 tahun ini, untuk tempoh setahun yang melibatkan kira-kira 60,000 pesawah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here