BN tetap pertahan 21 kerusi dimenangi, PH Melaka mahu tanding solo

PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021, Barisan Nasional (BN)  berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Daripada 21 kerusi itu, 11 daripadanya dimenangi dengan majoriti bawah 1,000 iaitu Tanjong Bidara (364), Rembia (860), Gadek (559), Machap Jaya (938), Durian Tunggal (559), Serkam (79), Pantai Kundor (827), Paya Rumput (629), Klebang (876),Pengkalan Batu (200) dan Duyong (200).

Manakala 10 kerusi BN menang atas 1,000 undi iaitu Kuala Linggi (1,836), Ayer Limau (1,085), Lendu (4,016), Taboh Naning (1,825), Asahan (2,993), Telok Mas (2,076), Ayer Molek (2,802), Rim (1,327), Merlimau (3,248) dan Sungai Rambai (1,137).

Hari ini Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab.Rauf Yusof mengumumkan, parti itu akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi tersebut dan  akan mengumumkan rakan strategik selepas mendapat mandat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Setakat ini tidak dipastikan siapakan yang akan menjadi pilihan BN untuk bekerjasama, apakah Pas yang menjadi pilihan atau Pakatan Harapan yang merupakan sekutu di peringkat pusat.

Ketika Pas menaruh harapan untuk bekerjasama, pendirian  PH pula agak mengelirukan apabila hari ini Ketua DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata, pakatan itu  akan bertanding solo pada PRN Melaka tanpa sebarang pakatan pilihan raya bersama Bersatu mahupun gabungan lain.

Khoo yang juga Timbalan Pengerusi PH Melaka berkata, DAP, PKR dan Amanah pada peringkat negeri telah sepakat untuk bergerak secara bersendirian.

Beliau menjelaskan, sebarang bantahan daripada pemimpin parti komponen hanyalah pandangan peribadi masing-masing.

“Kita akan terangkan pendirian PH Melaka kepada pusat untuk mendapatkan maklum balas,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dilaporkan berkata, PH terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Ketua Amanah Melaka Ashraf Mukhlis Minghat serta Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari menepis kenyataan Khalid.

Sementara itu, pada sidang media hari ini, Ab Rauf berkata, rundingan masih dijalankan bagi beberapa kerusi yang dicadangkan untuk pertukaran atau ‘cross swap’, namun BN kekal dengan pendirian mempertahankan 21 kerusi.

“Itu adalah satu garis sempadan yang telah saya suarakan, maka kita sedang berunding untuk mempertahankan 21 kerusi dan ada beberapa kerusi yang sedang kita rundingkan untuk dipanggil ‘cross swap’. Tetapi tetap 21 kerusi,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, BN masih terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain, namun keputusan mengenai rakan strategik akan dikemukakan kepada MKT UMNO untuk mendapatkan mandat sebelum diumumkan.

Katanya, rundingan dengan pihak yang berminat untuk bekerjasama akan diadakan secara berperingkat.

“Setakat hari ini memang kita lihat dalam media-media sosial ramai yang menyuarakan untuk bergabung dengan kita dan kita akan aturkan perundingan ini berperingkat-peringkat,” katanya.

Menurutnya, pengumuman mengenai rakan strategik BN dijangka dibuat sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober ini.

Ab Rauf berkata, nama calon BN bagi PRN Melaka juga sudah diserahkan oleh ketua-ketua bahagian untuk penelitian dan analisis sebelum keputusan dibuat.

Mengenai pengumuman tarikh PRN Melaka yang ditetapkan pada 14 November sebagai hari pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beliau berkata,  tempoh berkenaan tidak terlalu panjang, malah memberi ruang secukupnya kepada SPR untuk membuat persiapan, terutama membabitkan aspek logistik dan pusat mengundi.

Beliau berkata, tempoh ditetapkan SPR perlu dilihat secara positif dan tidak wajar disalah tafsir sebagai langkah strategik untuk memanjangkan tempoh pilihan raya.

“Siapa kata panjang? Kalau yang paling awal pun seperti yang dicadangkan sebelum ini adalah 17 Oktober (penamaan calon) dan pilihan raya pada 31 Oktober. Hanya dua minggu saja (beza). Tak ada masalah… saya rasa (tempoh) tak panjang,” katanya di Seri Negeri.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here