SEMUA sekolah di Johor akan ditutup selama dua hari bermula esok hingga Jumaat berikutan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang dikesan di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, langkah itu diambil sebagai tindakan berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan serta keselamatan murid, selain mengambil kira titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Menurutnya, kerajaan negeri menyedari penutupan sekolah berkenaan mungkin menimbulkan kesukaran kepada ibu bapa dan penjaga yang perlu hadir bekerja.
Sehubungan itu, beliau berharap majikan dapat memberikan kelonggaran yang sewajarnya kepada ibu bapa terlibat, termasuk menerusi pengaturan kerja yang bersesuaian dengan keperluan organisasi masing-masing.
Bagi sekolah yang mempunyai jadual Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau pentaksiran lain dalam tempoh tersebut, pelaksanaannya akan ditangguhkan dan dijadualkan semula berdasarkan ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkaitan.
Muhammad Naqib berkata, proses pembelajaran murid tetap diteruskan menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh sekolah ditutup.
Katanya, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan juga akan memantau perkembangan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari semasa ke semasa.
“Keputusan ini mungkin menuntut sedikit penyesuaian daripada semua pihak, namun dalam keadaan semasa, keselamatan dan kesihatan anak-anak Johor perlu menjadi keutamaan kita bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau pada masa sama menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau keadaan kesihatan anak-anak, menghadkan aktiviti luar serta memastikan pengambilan air yang mencukupi.
Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan rawatan segera sekiranya anak mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.
Beliau berharap keadaan jerebu yang melanda negeri itu akan kembali pulih dalam masa terdekat dan meminta semua pihak memberikan kerjasama bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid terus terpelihara.





