Kenaikan kos kapal LCS: Ikmal Hisham dakwa Khaled kelirukan Dewan Rakyat

AHLI Parlimen Tanah Merah daripada Perikatan Nasional (PN) DATUK Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mendakwa Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengelirukan Dewan Rakyat berhubung keputusan menaikkan kos projek kapal tempur pesisir (LCS) daripada RM9.2 bilion kepada RM11.3 bilion.

Ikmal Hisham berkata, ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara, Mohamed Khaled mengaitkan keputusan itu dengan kerajaan terdahulu, semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada penggal lalu.

“Kenyataan ini adalah tidak benar, mengelirukan Dewan Rakyat serta telah menjejaskan reputasi dan imej saya,” katanya ketika membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat.

Ikmal Hisham menegaskan, keputusan menaikkan kos projek serta mengurangkan jumlah kapal daripada enam kepada lima dibuat bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Anwar pada 19 April 2023, sebelum dimeterai menerusi perjanjian tambahan keenam antara Kementerian Pertahanan dengan Boustead Naval Shipyard, kini dikenali sebagai Lunas, pada 26 Mei tahun sama.

Ikmal Hisham meminta Mohamed Khaled membetulkan dan menarik balik kenyataan itu, selain menggesa Kementerian Pertahanan membuat pembetulan rasmi dalam hansard Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Doris Sophia Brodi meminta Ikmal Hisham mengemukakan usul kepada Speaker Johari Abdul untuk diputuskan.

“Ahli Parlimen Tanah Merah buat usul dan kemukakan kepada speaker. Biar dia buat keputusan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here