Ejen hartanah ingkar arahan polis ketika ekori konvoi TPM, didenda RM4,000

SEORANG ejen hartanah didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah kerana tidak mematuhi arahan polis ketika mengekori konvoi Timbalan Perdana Menteri (TPM), semalam.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman terhadap Bryan Marc Daniel, 27, yang turut berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memandu sebuah Honda CR-V didakwa gagal mematuhi arahan polis ketika berada di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), dari arah Kajang menuju Subang Jaya kira-kira jam 9.32 pagi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 21(2) Akta Polis 1967, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhanah Arul Hisham manakala tertuduh diwakili peguam R Karnan.

Tertuduh sebelum ini ditahan selepas dipercayai tidak mengendahkan arahan anggota polis trafik yang sedang mengiringi pergerakan konvoi TPM.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, kejadian berlaku ketika konvoi berkenaan bergerak dari Kajang menuju ke Sunway Medical Centre, Subang Jaya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here