Kes pecah amanah RM40 juta: ‘Siapa kena tangkap pun saya tak tahu’ – Sanusi

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan dakwaan yang mengaitkan dirinya atau kerajaan negeri dengan kes pecah amanah RM40 juta berkaitan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani.

Beliau mengingatkan pihak tertentu supaya tidak membuat tuduhan tanpa mengetahui keseluruhan perkara kerana ia boleh membawa kepada fitnah.

Menurutnya, kes berkenaan membabitkan urusan antara syarikat dan pihak berkuasa kini perlu menyelesaikannya selain menegaskan tidak mengetahui identiti individu yang ditahan.

“Syarikat dengan syarikat, dia punya hal. Mereka selesai di pihak berkuasa, saya pun tak tahu.

“Saya nak jawab pihak orang tak boleh. Orang itu pun saya tak kenal siapa yang kena tangkap. Saya tak tahu, siapa yang duit hilang pun saya tak tahu. Jadi macam mana mereka tuduh Sanusi pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Hakmilik dan Kunci Rumah Desa Sejahtera Perik, Mukim Kurong Hitam di Padang Terap hari ini, lapor Sinar Harian.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengarah syarikat wanita berusia 30-an ditahan selepas disyaki melakukan pecah amanah RM40 juta berkaitan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang terbengkalai.

Suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman selepas seorang pemegang saham utama syarikat membuat laporan polis berhubung urusan pembelian saham syarikat sekitar April hingga Jun 2024.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sebelum ini sudah menjelaskan bahawa projek berkenaan menerima peruntukan RM30 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dengan RM10 juta digunakan bagi urusan tanah manakala baki RM20 juta untuk projek.

Menurutnya, cadangan asal projek berkenaan dibangunkan pada skala lebih besar dengan kos keseluruhan kira-kira RM73 juta sebelum pihak terbabit memohon tambahan RM40 juta.

“Pihak terbabit dah dapat RM30 juta, pakai RM10 juta dan dengan RM20 juta dia minta lagi RM40 juta. Dia hantar kebenaran merancang (KM) untuk projek RM73 juta.

“Bila kita datang, kita kaji balik. Walaupun nak diteruskan, kita balik kepada asal, buat skala kecil yang patut dan padan. Tak payah sampai standard Sepang International Circuit (SIC),” katanya.

Beliau berkata, perubahan skala projek menyebabkan urusan kebenaran merancang serta tanah perlu diselesaikan semula, selain memastikan wang kerajaan tidak dibelanjakan ke atas tanah milik syarikat.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri masih meneliti kedudukan projek itu termasuk kemungkinan meneruskannya sebagai projek swasta atau kerajaan, bergantung kepada kos dan kemampuan kewangan.

“Kalau besar sangat dan di luar kemampuan kerajaan, swasta yang jalankan.

“Kalau dalam lingkungan yang kerajaan mampu, RM20 juta itu kita projek itu. Kalau lebih daripada itu, tak boleh,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here