SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Labuan mengemukakan enam syor penambahbaikan tata kelola kepada Jabatan Kewangan dan Jabatan Penguatkuasaan Perbadanan Labuan bagi mencegah risiko rasuah, penyelewengan serta ketirisan dalam agensi berkenaan.
Syor itu dikemukakan susulan penyiasatan tata kelola yang dijalankan terhadap amalan, sistem dan tata cara kerja di kedua-dua jabatan, melibatkan urusan perolehan tender kerja kecil secara konvensional bernilai RM10 juta bagi projek merobohkan bangunan bekas Hotel Labuan dan meratakan tapaknya, serta pelaksanaan rondaan di kawasan tempat letak kereta dan tempat perhentian teksi.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, bagi Jabatan Kewangan, suruhanjaya itu mencadangkan penambahbaikan Manual Perolehan Perbadanan Labuan dan pelaksanaan penggiliran tugas dalam kalangan ahli Jawatankuasa Penilaian Tender Kerja bagi memperkukuh ketelusan serta integriti proses perolehan.
“Jabatan Penguatkuasaan disaran mewujudkan dan melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang komprehensif bagi rondaan tempat letak kereta dan tempat perhentian teksi.
“Jabatan itu turut disyorkan membekalkan buku poket rasmi kepada anggota penguat kuasa untuk merekodkan aktiviti harian, pemerhatian dan tindakan penguatkuasaan,” kata kenyataan itu hari ini.
Selain itu, SPRM mencadangkan supaya semua kad kuasa anggota penguat kuasa dipastikan sentiasa berada dalam keadaan baik, selain mengadakan ceramah, taklimat atau kursus pencegahan rasuah secara berkala berkaitan Akta SPRM 2009.
Menurut SPRM, kesemua syor berkenaan bertujuan memperkukuh sistem tadbir urus, mengurangkan risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, di samping meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta keyakinan awam terhadap kredibiliti Perbadanan Labuan.
Syor berkenaan dibentangkan oleh Timbalan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Labuan, Augustine S Manson pada majlis yang berlangsung di Bilik Gemilang, Wisma Perbadanan Labuan, semalam.
Menurut SPRM, Perbadanan Labuan menyambut baik syor yang dikemukakan sebagai usaha memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan integriti organisasi.
Persetujuan itu dizahirkan menerusi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tata Kelola yang ditandatangani bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail dan Augustine.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Fadzilah Mahmud; Pengarah Jabatan Kewangan Perbadanan Labuan, Norina @ Morin Ignatius Beatty serta Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, Musa Bariong.





