SINDIKET penyeludupan dadah antarabangsa dipercayai mula menggunakan lapangan terbang lebih kecil sebagai laluan alternatif susulan kawalan keselamatan lebih ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perubahan taktik itu dikesan menerusi penahanan seorang warga asing yang dipercayai menjadi ‘keldai dadah’ di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak, pada 1 September lalu.
Beliau berkata, suspek cuba membawa 26.2 kilogram tunas ganja ke London melalui Singapura sebelum ditahan menerusi Op Tebuan.
“Kami percaya disebabkan penguatkuasaan yang ketat di KLIA, sindiket tersebut telah mengubah laluan mereka dan cuba menggunakan lapangan terbang lain.
“Bagaimanapun, kami berjaya mengesan taktik berkenaan dan menahan individu terbabit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.





