KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menerima peruntukan bernilai RM47.7 bilion menerusi Belanjawan 2027 di mana kerajaan pada masa yang sama turut komited untuk menoktahkan isu doktor kontrak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak 2023, Kerajaan MADANI telah melantik secara tetap lebih 15,000 doktor kontrak termasuk 4,000 pada tahun ini.
“Pada 2027, lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan ke jawatan tetap. Bermakna, selepas ini doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap pegawai perubatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi menghargai 47,000 anggota paramedik dan jururawat, kadar Bayaran Insentif Pos Basik akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan berbanding RM100 buat masa ini.
Selain itu, beliau berkata, turut dinaikkan ialah Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100.





