SEORANG lelaki cedera terkena tembakan polis selepas memandu secara agresif dan melanggar kenderaan awam ketika dikejar kereta peronda polis dari Persiaran Mahogani, Petaling Jaya menghala ke Sungai Buloh, semalam.
Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang memandu Proton Wira itu berjaya diberkas, manakala seorang anggota peronda polis turut cedera.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.42 petang.
“Dalam kejadian itu, suspek memandu secara agresif dan berbahaya serta melanggar kenderaan awam sebelum berjaya ditahan polis. Suspek mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan pihak polis ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shamsudin berkata, anggota peronda polis dan suspek kini dirawat di hospital.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lalu merangkumi enam kes dadah dan empat kes jenayah. Polis turut merampas dadah serta senjata mainan menyerupai pistol. Ujian saringan air kencing belum dapat dijalankan kerana suspek masih menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, polis masih menyiasat punca suspek bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 kanun sama kerana memandu secara melulu atau berbahaya.
Siasatan selari turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, selain Seksyen 39B serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Permohonan reman terhadap suspek dijadualkan dibuat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hari ini.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat spekulasi berhubung kejadian itu.
“Saksi yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya.





