SEORANG wanita berusia 21 tahun berjaya dipujuk turun ke tempat selamat oleh pasukan bomba dan polis selepas berada di tingkat tiga sebuah bangunan di Donggongon, Penampang, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.33 pagi sebelum lima anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba dua minit kemudian dan mendapati wanita berkenaan berada di tingkat tiga bangunan terbabit.
“Pasukan bomba bersama anggota polis kemudian berusaha memujuk wanita berkenaan supaya kembali ke tempat selamat.
“Wanita itu akhirnya berjaya dipujuk sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, operasi yang bermula pada jam 4.30 pagi itu tamat sepenuhnya pada jam 5.55 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.





