SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam rumah sewanya di Kampung Bawah Gunung, Baling, selepas dipercayai tidak hadir bekerja selama dua hari sebelum kehilangan itu disedari rakan sekerjanya, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk membuka pintu rumah sewa berkenaan sebelum menemukan mayat lelaki terbabit.
“Berdasarkan maklumat, mangsa tinggal bersendirian di rumah sewa itu dan dipercayai telah meninggal dunia selepas tidak hadir bekerja selama dua hari.
“Kejadian disedari rakannya yang juga pemandu lori batu konkrit selepas terhidu bau busuk dari arah rumah mangsa,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 12.22 tengah hari selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.






