Kebakaran belukar merebak, 18 kenderaan terbakar di Johor Bahru

SEBANYAK 18 kenderaan musnah selepas kebakaran belukar merebak berhampiran Masjid Al Mahabah di Taman Bukit Mewah, Johor Bahru semalam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor memaklumkan mereka menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.32 tengah hari, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut kenyataan pusat operasi itu, jentera bomba tiba di lokasi pada 1.45 tengah hari dan mendapati kebakaran belukar seluas kira-kira 0.372 hektar sudah merebak, sekali gus menyebabkan 18 kenderaan yang berada berhampiran turut terbakar.

“Antara kenderaan yang terbakar dan mengalami kemusnahan kira-kira 80 peratus termasuk Hyundai Atoz, Perodua Kancil, Naza Ria, Proton Perdana, Proton Savvy, Perodua Kelisa, sebuah van serta Proton Saga FLX, selain lima lagi kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti,” kata kenyataan tersebut, lapor Harian Metro.

Sementara itu, beberapa kenderaan lain seperti Proton Saga, BMW E60, Proton Inspira dan Perodua Kelisa mengalami kerosakan kira-kira lima peratus.

Tambah kenyataan itu, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 2.37 petang dan operasi pemadaman ditamatkan pukul 5.20 petang.

“Operasi pemadaman membabitkan sembilan anggota dengan penggunaan dua unit alat pemerap api, satu aliran salur bantu mula air serta tiga aliran sepanjang 400 kaki (kira-kira 121 meter), menggunakan sumber air daripada pam jentera dan pili bomba berhampiran.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu,” menurut kenyataan itu lagi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img