PENINGKATAN peruntukan diterima Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Belanjawan 2027 memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan institusi pendidikan tinggi (IPT) terus diperkasa sebagai pusat kecemerlangan ilmu, pembangunan bakat dan inovasi.
KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan peningkatan peruntukan kepada RM19.1 bilion dalam Belanjawan 2027 itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memperluas akses pendidikan berkualiti serta menjamin kesejahteraan mahasiswa.
Menurut kenyataan itu, sejumlah RM800 juta disediakan untuk menaik taraf prasarana usang di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), termasuk kemudahan bilik kuliah, kediaman mahasiswa dan peralatan pembelajaran, bagi meningkatkan keselesaan dan kualiti persekitaran pembelajaran.
“Usaha ini turut diperkukuh melalui pembangunan Residensi Mahasiswa Universiti Malaya yang bakal menyediakan kemudahan penginapan berkapasiti 10,000 mahasiswa serta pelaburan RM750 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menerusi Projek Vista Kampus di enam IPTA.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan kampus, malah membantu menangani isu kos penginapan, rumah sewa dan pengangkutan yang dihadapi mahasiswa,” menurut kenyataan itu.
Dalam aspek kebajikan dan kos sara hidup mahasiswa, KPT memaklumkan peningkatan bantuan subsidi tiket penerbangan FLYSiswa kepada RM500 dijangka memanfaatkan lebih 60,000 mahasiswa IPTA, khususnya dalam meringankan kos perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, Program Dapur Siswa MADANI di Universiti Awam diteruskan dengan memperluas pelaksanaannya ke politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG), sekali gus memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada makanan pada harga berpatutan sepanjang tempoh pengajian.
Selain itu, untuk memperkukuh kelestarian kewangan institusi pendidikan tinggi, insentif potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus bagi sumbangan pihak luar kepada IPTA turut diperkenalkan bagi menggalakkan penglibatan sektor korporat, industri, alumni dan masyarakat dalam menyokong pembangunan universiti serta kesejahteraan warga kampus.
“KPT turut menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan fleksibiliti bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam.
“Antara kemudahan diperkenalkan termasuk penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan, bayaran minimum RM50 bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 serta diskaun 10 peratus kepada peminjam tanpa tunggakan yang membuat bayaran secara konsisten,” menurut kenyataan itu.
KPT memaklumkan insentif potongan cukai kepada majikan yang membantu melunaskan pinjaman pendidikan pekerja turut mencerminkan pendekatan lebih menyeluruh dalam meringankan komitmen kewangan graduan, di samping memperkukuh kelestarian dana pendidikan tinggi.





