840 warga asing ditahan PGA di Kelantan, Terengganu dan Pahang

SERAMAI 840 warga asing ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) atas pelbagai kesalahan imigresen dalam tempoh 1 Januari hingga 4 Oktober lalu, termasuk individu yang memasuki Kelantan secara haram melalui Sungai Golok.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, antara alasan diberikan warga Thailand yang ditahan ialah mahu menziarahi keluarga atau saudara-mara yang sakit, selain masalah dokumen perjalanan.

Menurutnya, terdapat juga individu yang mendakwa menyeberangi sempadan untuk bekerja atau menjalankan kegiatan ekonomi di Kelantan dan negeri lain di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PGA tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar peraturan dan tindakan akan diambil tanpa mengira alasan diberikan.

Ahmad Radzi berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 649 lelaki dan 191 wanita ditahan dalam 383 kes mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Semua 840 warga asing itu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dan mereka bukan hanya berasal dari Thailand, tetapi juga Myanmar, Bangladesh dan Kemboja,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian mereka ditahan selepas menyeberangi sempadan melalui sungai, manakala selebihnya diberkas di lokasi lain, termasuk menerusi sekatan jalan raya di seluruh negeri.

Dalam perkembangan lain, Briged Tenggara merekodkan 1,749 kes membabitkan 2,204 tangkapan dalam tempoh sama, dengan nilai rampasan berjumlah RM240 juta.

Menurutnya, briged yang meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang turut merampas 54 kenderaan bernilai RM2.3 juta yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here