PELAKSANAAN fasa kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 antaranya akan tertumpu pada kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak melibatkan 2,000 lokasi, dengan pelbagai penyelesaian teknologi terkini digunakan bagi memperluas capaian Internet mengikut kesesuaian kawasan.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata secara keseluruhan JENDELA 2 melibatkan 3,000 lokasi dengan populasi antara 20 hingga 30 orang hingga 200 hingga 300 orang, yang memerlukan pendekatan berbeza bagi memastikan capaian Internet dapat disediakan.
“Bagi fasa pertama, satu pertiga lokasi di Semenanjung, satu pertiga di Sabah dan satu pertiga di Sarawak, jadi kita berlaku adil. Tapi dalam fasa kedua, banyak daripada lokasinya adalah di kawasan pedalaman Sarawak dan juga di Sabah, ada beberapa lokasi di Semenanjung juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) 2026 bersama-sama komuniti Paya Rumput@ Tangga Batu anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) sebagai rakan strategik di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, Melaka hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim, Ketua Pengarah J-KOM Mohd Hisyamuddin Ghazali dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan lokasi di bawah JENDELA 2 akan melibatkan pembinaan menara telekomunikasi, manakala selebihnya menggunakan pelbagai penyelesaian yang bersesuaian dengan keadaan setempat.
Beliau berkata teknologi satelit Starlink antara pilihan yang boleh dimanfaatkan, khususnya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk rendah dan berdepan cabaran bentuk muka bumi serta litupan tumbuh-tumbuhan.
Teknologi Starlink versi terbaharu yang lebih kecil, mudah dibawa dan menjimatkan penggunaan tenaga turut berpotensi membantu menyediakan capaian Internet di kawasan yang sukar mendapat liputan.
“Jadi kita akan manfaatkan teknologi seperti Starlink untuk bantu memastikan ada capaian Internet, termasuk di kampung-kampung Orang Asli,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menerusi pelaburan RM5 bilion memperkukuh ketersambungan Internet di seluruh negara menerusi projek JENDELA 2, termasuk memperluas liputan 4G ke semua kampung Orang Asli pada tahun depan.
Dalam pada itu beliau berkata lebih 30 program PMK akan diadakan di seluruh negara bagi memperluas penyampaian maklumat mengenai inisiatif kerajaan termasuk manfaat Belanjawan 2027 kepada rakyat.
“Saya telah meminta Unit Pantau MADANI menerapkan maklumat berkaitan Belanjawan 2027 dalam program ini bagi memastikan manfaat yang diumumkan Perdana Menteri dapat diketahui dan difahami rakyat.
Terdahulu, pada program itu lebih 3,000 orang berkunjung bagi mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan, inisiatif dan manfaat yang ditawarkan oleh 35 kementerian, jabatan dan agensi serta rakan strategik pada program yang berlangsung sejak 8 pagi tadi.
Antara perkhidmatan yang disediakan ialah Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI, pemeriksaan kesihatan percuma, pendaftaran MyDigital ID, semakan wang tidak dituntut dan perkhidmatan gunting rambut percuma





