FFM35 umum lima calon terbaik , 73 karya bertanding

TIMBALAN Menteri Komunikasi, Nie Ching merasmikan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) bersempena dengan majlis pengumuman lima calon terbaik (Top 5) bagi 25 kategori yang dipertandingkan di Menara FINAS, Damansara semalam.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataan berkata, bertemakan “Spektrum Sinema”, sebanyak 73 karya menyertai FFM35 yang merangkumi 39 filem cereka, 17 dokumentari dan 17 filem pendek.

”Pengumuman Top 5 berlangsung ketika enam filem tempatan telah melepasi kutipan RM10 juta pada tahun ini yang dilihat sebagai dorongan untuk terus membangunkan karya berbeza, mengukuhkan aspek pengedaran serta membuka lebih banyak ruang kepada bakat di hadapan dan belakang kamera,’’ kata kenyataan itu hari ini.

Menurut FINAS,  FFM35 turut meraikan tokoh terdahulu melalui program “Tribute: Penghargaan kepada Tokoh Perfileman Veteran Negara” bertempat di Studio Sound Stage FINAS, Hulu Kelang.

”Pada 4 November ini tayangan “Tuan Badul” akan meraikan A.R. Badul dan Norlia Ghani, manakala pada 5 November, tayangan “Bayangan Maut” sebagai penghormatan kepada Datuk Yusof Haslam dan Noor Kumalasari. Selain itu, karya-karya yang bertanding juga akan ditayangkan di GSC Mid Valley bermula 16 hingga 20 November ini,’’ kata kenyataan tersebut.

Menurut FINAS, Kementerian Komunikasi menyediakan Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta kepada pemenang Filem Terbaik sebagai kesinambungan sokongan yang diumumkan semasa FFM34.

”Pemenang 28 kategori bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas Karyawan dan Anugerah Khas Sepanjang Zaman bakal menerima RM10,000 dan trofi,’’ kata kenyataan berkenaan.

Kemuncak FFM35 ialah pada 21 November ini, pukul 8.30 malam di Istana Budaya. Senarai penuh Top 5 diumumkan melalui saluran rasmi https://ffm.finas.my serta media sosial FINAS.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here