Belanjawan 2027 : Pelaburan RM5 bilion perkukuh internet, RM130 juta sokong industri kreatif

KERAJAAN  memperuntukkan pelaburan RM5 bilion bagi memperkukuh ketersambungan Internet negara menerusi Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA), selain lebih RM130 juta untuk menyokong industri kreatif tempatan di bawah Belanjawan 2027.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaburan itu merangkumi peluasan liputan 4G ke semua kampung Orang Asli, selain usaha memperluas rangkaian infrastruktur telekomunikasi di seluruh negara.

“Bagi sektor kreatif, peruntukan lebih RM130 juta disediakan untuk menyokong industri perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan, termasuk insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia.

“Insentif tambahan turut disediakan bagi karya yang menampilkan budaya dan kenegaraan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu memaklumkan kerajaan juga akan mengecualikan sepenuhnya duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027.

Selain itu, sebanyak 20 harta intelek baharu akan diwujudkan, manakala watak Malaysia akan dikomersialkan di pentas dunia.

Dalam pada itu, kerajaan memperuntukkan RM142 juta bagi memperhebat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), yang turut menyokong usaha memperluas akses maklumat kepada masyarakat.

Bagi memperkukuh keselamatan siber, Kempen Internet Selamat akan dilaksanakan di semua sekolah dengan tumpuan kepada usaha menangani buli siber dan eksploitasi kanak-kanak.

Kementerian Komunikasi juga menyatakan pelaksanaan inisiatif berkenaan diharap dapat meningkatkan ketersambungan komunikasi, literasi digital serta hasil industri kreatif yang berkualiti.

Belanjawan 2027 bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Okt lepas.

Belanjawan 2027 melibatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, ditambah dengan RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC); sebanyak RM11 bilion pelaburan awam-swasta; dan RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here