TIADA keperluan mendesak untuk membawa keluar pelajar Malaysia setakat ini, namun pemantauan rapi dilakukan susulan insiden serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Arab Saudi, semalam.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pemantauan dilakukan di beberapa kawasan, khususnya Madinah dan Makkah bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh menjejaskan keselamatan nyawa.
“Krisis di Timur Tengah ini telah berlanjutan sejak tujuh bulan lepas. Buat masa ini, tiada keperluan untuk evakuasi, namun kita akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar untuk mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bantuan Pendidikan Bersasar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Mohd Anwar, TVETMARA, di Lumut hari ini.
Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi memaklumkan bahawa 12 orang terkorban, manakala 309 lagi cedera dalam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid pada Sabtu.
Empat warga Arab Saudi, dua rakyat Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat (AS), Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan terkorban dalam serangan itu.
Sebelum itu, Kementerian Luar memaklumkan tiada laporan rakyat Malaysia terkorban atau cedera susulan serangan terbaharu tersebut.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh sedang berhubung dengan beberapa rakyat Malaysia yang terkandas akibat gangguan perjalanan bagi memberikan bantuan konsular yang diperlukan.
“Rakyat Malaysia yang menetap, sedang dalam perjalanan melalui, atau merancang untuk melakukan perjalanan ke Arab Saudi amat digesa supaya sentiasa berwaspada.
“Memandangkan gangguan penerbangan masih berterusan, mereka yang mempunyai rancangan perjalanan dalam masa terdekat dinasihatkan supaya mengesahkan status penerbangan masing-masing secara langsung dengan syarikat penerbangan sebelum bergerak ke lapangan terbang,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Kementerian itu turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan atau pembatalan penerbangan, sentiasa mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi serta mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Bagi memastikan komunikasi dapat dilaksanakan dengan segera serta memudahkan penyaluran bantuan konsular, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia supaya mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh menerusi talian 00 966 11 488 7098 atau 00 966 11 488 7100 untuk pertanyaan am, talian kecemasan selepas waktu pejabat di 00 966 56 300 6319 atau e-mel mwriyadh@kln.gov.my.





