TIMBALAN Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM kepada tiga pengamal media di Sabah yang berdepan masalah kesihatan.
Teo, yang dalam rangka lawatan kerja ke Sabah, menyampaikan sumbangan berkenaan di Pejabat Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di Kota Kinabalu, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan warga media yang berdepan kesukaran.
Tiga penerima sumbangan tersebut ialah Kamarudin Abdullah dan Floris Philip dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Mohammed Fairuz Mohammed Yazzer dari Media Prima.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, YBhg. Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan peluasan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA melalui sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM) bagi membantu lebih ramai pengamal media yang berdepan kesulitan dan memerlukan sokongan.
Sejak penyaluran bantuan menerusi kerjasama tersebut bermula pada Jun 2026, seramai 94 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Secara keseluruhan, sejak Tabung Kasih@HAWANA diperkenalkan pada April 2023, seramai 864 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi BERNAMA.





