AFC denda FAM RM7,149, gantung Eddy Israfilov dua perlawanan

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda AS$1,750 (kira-kira RM7,149) oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) susulan pelanggaran peraturan ketika perlawanan kelayakan Piala Asia Bawah 20 (B-20) Tahun 2027.

Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC, FAM dikenakan denda itu selepas skuad B-20 negara menyebabkan permulaan babak kedua lewat selama satu minit 24 saat ketika aksi antara Malaysia menentang Laos, 6 September lalu.

“Denda hendaklah dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan ini dimaklumkan, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Disiplin dan Etika AFC,” menurut keputusan Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC.

Sementara itu, Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC turut mengenakan hukuman terhadap tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Eddy Israfilov.

Pemain berusia 34 tahun itu melakukan kekasaran terhadap pemain lawan dan dilayangkan kad merah oleh pengadil ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2026/27 menentang Buriram United, 15 September lalu.

Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC memaklumkan, Israfilov digantung dua perlawanan termasuk penggantungan automatik satu perlawanan.

Penggantungan itu membabitkan saingan ACLE 2026/27 iaitu aksi menentang kelab Korea Selatan, FC Pohang Steelers, Selasa ini dan pertembungan dengan wakil Thailand, Port FC pada 27 Oktober.

Israfilov turut diarahkan membayar denda sebanyak AS$2,000 (RM8,171) yang perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan itu dimaklumkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here