MOTOSIKAL bergesel dengan tiang lampu di sebelah kiri jalan sebelum melanggar lubang dikenal pasti punca kemalangan membabitkan tiga beradik di Kampung Bechah Tendong, Pasir Mas petang tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, motosikal Yamaha LC110 yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan berkenaan.
Menurutnya, motosikal yang ditunggang remaja berusia 18 tahun itu terlebih dahulu bergesel dengan tiang lampu sebelum melanggar lubang sehingga menyebabkan kesemua mereka tercampak.
“Akibatnya, ketiga-tiga beradik itu tercampak dan mangsa yang berusia 10 tahun maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala manakala adiknya berusia enam tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan, dua beradik berusia enam dan 10 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki bersama abang sulung mereka terbabas di Kampung Bechah Tendong di Pasir Mas.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang ketika ketiga-tiga beradik berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah dari Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1 di Pasir Mas.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Saiful Hayyan, 6, dan Muhammad Saiful Haider, 10, manakala abang sulung mereka, Muhammad Saiful Haikal, 18, mengalami kecederaan.
Abang mereka yang berusia 18 tahun pula masih menerima rawatan di hospital sama akibat kecederaan di kepala.





