DEWAN Rakyat meluluskan Belanjawan 2027 menerusi undian suara hari ini.
Timbalan Speaker, Datuk Seri Ramli Nor berkata, Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 diluluskan pada bacaan kali ketiga tanpa pindaan selepas perbahasan mengenai peruntukan setiap kementerian selesai.
Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan disokong Timbalannya, Liew Chin Tong, lapor FMT.
Usul berasingan yang membenarkan perbelanjaan pembangunan sehingga RM85 bilion bagi 2027 turut diluluskan menerusi undian suara.
Rang Undang-Undang Perbekalan itu seterusnya akan dibawa ke Dewan Negara untuk dibahaskan dan diluluskan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kelulusan Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ sebagai satu lagi langkah penting dalam usaha kerajaan meningkatkan kehidupan rakyat serta memperkukuh daya tahan negara.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berharap segala perancangan dan inisiatif yang digariskan dalam belanjawan berkenaan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat.
“Alhamdulillah. Belanjawan 2027 yang bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ diluluskan Dewan Rakyat hari ini, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Kerajaan MADANI mengangkat kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik, di samping memperkukuh daya tahan dan menjamin masa depan negara.
“Moga segala perancangan dan ikhtiar yang digariskan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, membawa manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjadi asas yang kukuh untuk membina Malaysia yang lebih makmur, adil dan sejahtera,” katanya dalam hantaran itu.
Bernama melaporkan, Belanjawan 2027 menggariskan lapan lunas utama merangkumi komitmen untuk kehidupan rakyat lebih baik sehingga ke agenda memperkukuh daya tahan dan masa depan negara.
Belanjawan kelima di bawah Kerajaan MADANI itu melibatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, selain RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion. Persidangan bersambung Isnin depan.





