DUA lelaki berusia 20 tahun maut manakala lima individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Taman Perindustrian Hicom-Glenmarie di Shah Alam tengah malam tadi.
Kemalangan kira-kira jam 12.27 tengah malam itu melibatkan Proton Wira Aeroback yang dinaiki empat lelaki tempatan berusia 19 dan 20 tahun serta sebuah Proton Exora dinaiki tiga individu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, dua mangsa yang maut merupakan penumpang Proton Wira Aeroback, manakala dua lagi lelaki berusia 19 tahun yang menaiki kereta sama mengalami kecederaan ringan.
“Proton Exora pula dinaiki seorang wanita berusia 29 tahun dan dua lelaki masing-masing berumur 27 serta 28 tahun. Ketiga-tiga mereka turut mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.27 tengah malam sebelum anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya digerakkan ke lokasi dengan bantuan BBP Bukit Jelutong.
Menurutnya, operasi berkenaan terkawal pada jam 1.05 pagi, sebelum semua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.





