‘’Mana bukti Najib berada di AmIslamic Bank untuk salahguna kedudukan?’’ – Peguam

PEGUAM  bela Datuk Seri Najib Razak menegaskan, pendakwaan tidak pernah mengemukakan bukti yang menunjukkan bekas Perdana Menteri itu mengunjungi AmIslamic Bank bagi mengaitkan beliau dengan empat tuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dalam hujahannya di Mahkamah Tinggi di Putrajaya  hari ini berkata, ia sedangkan lokasi yang kononnya semua kesalahan itu didakwa dilakukan, adalah bertempat di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan.

Menurutnya, bukan sahaja pendakwaan tidak mengemukakan bukti menunjukkan Najib menjejakkan kaki di bank itu, malah dakwaan bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu menggunakan pengaruhnya di bank terbabit juga tidak dibuktikan, dan tiada saksi dipanggil memberikan keterangan berhubung perkara berkenaan.

“Di mana buktinya bahawa Datuk Seri Najib pernah berada di AmIslamic Bank untuk menyalahgunakan kedudukan yang membolehkan mahkamah mensabitkannya atas pertuduhan itu?

“Keberatan bagi pihak pembelaan terhadap tuduhan itu ialah bukan kerana ia tidak mengandungi tarikh, masa atau tidak menyatakan kesalahan dilakukan, tetapi kerana setiap tuduhan mengandungi tarikh, lokasi dan menyenaraikan beberapa perbuatan salah yang didakwa.

“Inil sebenarnya takrifan kepada pendakwaan berbilang yang dengan jelas dianggap oleh mahkamah di negara ini sebagai tidak sah dan tidak boleh diperbaiki.

“Dengan itu, kami menghujahkan bahawa tuduhan yang dikemukakan terhadap Datuk Seri Najib adalah cacat, mengandungi pendua tersembunyi dan tetap diteruskan walaupun ia kabur dan mengelirukan,”katanya lapor Berita Harian.

Wan Azwan Aiman berkata demikian dalam hujahannya di akhir kes pembelaan bagi 25 tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB)berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Najib.

Prosiding hujahan terbabit berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Wan Azwan Aiman seterusnya berkata, oleh kerana tiada bukti menunjukkan Najib pernah berada di cawangan bank berkenaan, mahkamah tinggi dengan itu seharusnya meneliti semula dan mengkaji tuduhan terhadapnya bagi menentukan sama ada ia telah dibuktikan oleh pendakwaan.

Katanya, pada tahap ini, pembelaan memohon supaya mahkamah meneliti dan menilai semula empat tuduhan salah guna kedudukan terhadap Najib mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Beliau berkata, pembelaan bersetuju bahawa tuduhan harus mengandungi masa dan tempat dan menyatakan kesalahan yang didakwa terhadap tertuduh, tetapi setiap tuduhan yang mengandungi tarikh, lokasi dan kesalahan berganda tidak boleh dikemukakan atau selamat untuk dikekalkan.

Beliau yang mengambil contoh tuduhan pertama ke atas Najib, mempersoalkan bagaimana mungkin lima tarikh, lima tindakan, empat lokasi dan tiga kapasiti rasmi digabungkan menjadi satu tuduhan dan tidak dianggap berganda.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Sementara itu, Wan Azwan Aiman berhujah, berlaku salah laksana keadilan apabila hakim bicara (Sequerah) di akhir kes pendakwaan memutuskan bahawa tuduhan yang dikenakan terhadap Najib tidak bertindih atau berulang.

Beliau menghujahkan bahawa keputusan itu juga dibuat pramatang dan tergesa-gesa, sebelum mahkamah mendengar pembelaan anak guamnya.

Peguam itu berkata, Sequerah menggunakan Seksyen 422 Kanun Prosedur Jenayah, iaitu satu peruntukan yang membetulkan kecacatan dalam tuduhan, dan atas dasar itu, mengisytiharkan bahawa tiada prejudis telah timbul.

“Adalah menjadi kewajipan undang-undang bagi mahkamah untuk menimbangkan segala keterangan yang dikemukakan sebelum memutuskan sama ada pihak pendakwaan sudah membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah.

“Oleh kerana itu, kewajipan undang-undang untuk menilai dan membandingkan dua set keterangan, adalah bertentangan dengan undang-undang sekiranya mahkamah ini enggan untuk meneliti isu ini semula terutamanya memandangkan Yang Arif sudah memutuskan bahawa tertuduh tidak dikelirukan oleh tuduhan sebelum beliau memberi keterangan di kandang saksi.

“Kegagalan untuk berbuat demikian akan mengesahkan bahawa keputusan berkenaan telah dibuat secara pramatang dan tergesa-gesa, yang dengan sendirinya menunjukkan berlaku ketidakadilan dalam perbicaraan ini,” katanya.


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img