Tuanku Muhriz dijemput hadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja esok

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja yang bermula esok, ketika krisis institusi diraja negeri itu masih berlarutan sejak April lalu.

Perkembangan itu berlaku susulan pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah Negeri Sembilan, selepas sepupunya, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diisytiharkan sebagai pemerintah baharu oleh empat individu yang mendakwa mempunyai kuasa berbuat demikian.

Menurut laporan The Straits Times Singapura, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang dijadual mempengerusikan mesyuarat berkenaan dari esok hingga 15 Oktober, telah menjemput Tuanku Muhriz untuk hadir.

Laporan itu turut menyebut, Tunku Nadzaruddin beberapa kali berusaha mendapatkan jemputan ke mesyuarat berkenaan, termasuk melalui Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.

Bagaimanapun, Tuanku Muhriz dilaporkan hanya akan menghadiri mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja esok, yang tidak disertai Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan kepentingan negeri masing-masing.

Tuanku Muhriz juga dijadual menyempurnakan pelantikan Undang Luak Jelebu yang baharu pada Rabu ini, sekali gus memberikannya “majoriti jelas” dalam Dewan Keadilan dan Undang (DKU), menurut sumber yang dipetik laporan itu.

Krisis institusi diraja Negeri Sembilan bermula pada April lalu apabila Empat Undang yang kedudukan mereka dipertikaikan mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz.

Pada Jun lalu, individu sama dilaporkan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar yang baharu dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka.

Krisis itu semakin meruncing pada September apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pimpinan Ismail mengeluarkan kenyataan mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz. Ismail turut menyokong kenyataan berkenaan meskipun sebelum itu dilaporkan menolak pengisytiharan Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah baharu.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara dan DKU menegaskan kenyataan berkenaan tidak mempunyai kesan undang-undang, manakala Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Susulan perkembangan itu, pelantikan barisan Exco terbabit dibatalkan, sementara pentadbiran Ismail diteruskan tanpa pelantikan pengganti setakat ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here