Buruh binaan dipenjara tiga tahun culik warga Palestin

SEORANG buruh binaan dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan melarikan dan mengurung lelaki warga Palestin di sebuah chalet di Hulu Langat, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin menjatuhkan hukuman terhadap Edy Ko’im Said, 46, dan memerintahkan hukuman itu bermula hari ini, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melarikan secara paksa mangsa berusia 31 tahun dengan niat supaya lelaki itu dikurung secara rahsia dan salah di Jalan Mayang, Dang Wangi, di sini, pada jam 10.40 malam, 28 September 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dibawa ke sebuah chalet di Hulu Langat sebelum polis menyerbu lokasi itu hasil maklumat risikan dan menemukannya dalam keadaan tangan serta kaki diikat menggunakan pengikat kabel.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadhir Mohd Khairudin berkata, tertuduh sebelum ini berdepan pertuduhan menculik, namun representasi yang dikemukakan diterima pihak pendakwaan sebelum pertuduhan pilihan ditawarkan.

Mahadhir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, manakala peguam Kelvinder Singh Sidhu yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya perlu menyara isteri dan tiga anak.

Sementara itu, perbicaraan kes penculikan mangsa sama yang membabitkan tujuh lagi tertuduh diteruskan hari ini.

Mereka ialah Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 45; Mohamad Naziree Mustapha, 45; Faizull Hardey Mohd Isa, 46; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 31; Mohd Zaidi Mohd Zain, 60; Nidarahayu Zainal, 40; dan Raibafie Amdan, 45.

Mereka didakwa secara niat bersama menahan mangsa di lokasi dan waktu sama bagi mendapatkan ganjaran berupa maklumat rahsia berkaitan cara membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Tengku Arif Bongsu bersama pasangan suami isteri, Nidarahayu dan Raibafie turut berdepan 19 pertuduhan lain membabitkan wang berjumlah lebih RM250,000 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 10 Julai tahun lalu, enam lelaki iaitu Mohamad Norakmal Hassan, 46; Mohd Azwan Jamaludin, 42; Dody Junaidi, 47; Mohamad Sufian Saly, 28; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54; dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28, masing-masing dipenjara lima tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan berkaitan penculikan dan pengurungan mangsa sama.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here