ISWAMI Malaysia desak tindakan tegas tangani jerebu rentas sempadan

IKATAN Setiakawan Wartawan Malaysia–Indonesia (ISWAMI Malaysia) mendesak tindakan segera, tegas dan menyeluruh bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara di Malaysia susulan kebakaran hutan dan tanah di beberapa kawasan di Indonesia.

Pemangku Presidennya, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, jerebu bukan sekadar isu alam sekitar, sebaliknya turut membabitkan kesihatan awam, kesejahteraan rakyat serta tanggungjawab bersama negara serantau.

DATUK Ahmad Zaini Kamaruzzaman

Menurut beliau, masalah yang berulang itu memerlukan penyelesaian jangka panjang dan tidak seharusnya hanya ditangani menerusi langkah kecemasan apabila keadaan semakin buruk.

ISWAMI Malaysia dalam kenyataan hari ini turut menggariskan lima keutamaan bagi menangani isu berkenaan, termasuk melindungi kesihatan rakyat menerusi pemantauan kualiti udara, penyampaian maklumat tepat serta nasihat kesihatan, khususnya kepada golongan berisiko.

“Isu berulang ini memerlukan penyelesaian menyeluruh, bukan sekadar tindakan kecemasan ketika keadaan bertambah buruk,” menurut kenyataan itu.

Selain perlindungan kesihatan awam, ISWAMI Malaysia menggesa usaha pencegahan dan penguatkuasaan di Indonesia dipertingkatkan, termasuk mempergiat operasi memadam kebakaran, mencegah pembakaran terbuka serta mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

Pertubuhan itu turut menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Indonesia melalui perkongsian data titik panas, pemantauan pergerakan asap, pertukaran maklumat serta bantuan teknikal dan operasi pemadaman kebakaran apabila diperlukan.

Pada peringkat serantau, komitmen ASEAN dalam aspek pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan juga perlu diperkukuh bagi merealisasikan matlamat rantau bebas jerebu.

Dalam masa sama, ISWAMI Malaysia menyeru media memainkan peranan secara bertanggungjawab dengan memastikan pelaporan berhubung jerebu berasaskan fakta, seimbang dan mengambil kira pandangan pakar serta pengalaman masyarakat yang terjejas.

Media juga diingatkan supaya mengelakkan naratif yang menyalahkan keseluruhan rakyat sesebuah negara berhubung isu berkenaan.

ISWAMI Malaysia berkata, hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia perlu menjadi asas untuk membincangkan isu jerebu secara terbuka dan matang tanpa mengetepikan kepentingan rakyat kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara berhak menikmati udara bersih dan persekitaran selamat,” menurut kenyataan itu.

Pertubuhan berkenaan menegaskan jerebu rentas sempadan tidak boleh terus dianggap sebagai masalah bermusim tanpa penyelesaian jangka panjang yang berkesan dan boleh diukur.

ISWAMI Malaysia yakin kerjasama yang ikhlas, akauntabiliti yang jelas serta tindakan berkesan mampu membantu mengelakkan masalah itu daripada terus berulang sehingga menjejaskan kehidupan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here