SAMBUTAN Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini tidak akan dibatalkan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini, namun lokasi dan skala penganjurannya mungkin diubah.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ditugaskan mengadakan perbincangan bersama jabatan berkaitan bagi meneliti langkah yang perlu diambil susulan keadaan jerebu berkenaan.
Katanya, perbincangan itu turut membabitkan Kementerian Komunikasi selaku kementerian yang dipertanggungjawabkan menguruskan sambutan Hari Kebangsaan.
“Jemaah Menteri telah mengambil maklum daripada Jabatan Meteorologi mengenai keadaan jerebu yang sedang melanda negara, termasuk di Putrajaya dan Kuala Lumpur selain daripada negeri Sarawak yang banyak terkesan.
“Maka Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa Tan Sri Ketua Setiausaha Negara ditugaskan untuk mengadakan satu perbincangan dengan semua jabatan yang berwajib dan juga pihak Kementerian Komunikasi,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Menurut Fahmi, perbincangan itu akan menentukan sama ada skala sambutan perlu diubah, lokasi dipindahkan atau acara diteruskan di lokasi asal di Putrajaya.
“Petang ini Tan Sri KSN akan mengadakan perbincangan dan seterusnya membuat keputusan tentang skala, lokasi dan juga langkah-langkah yang perlu diambil oleh penganjur untuk menjamin keselamatan dan kesihatan bukan hanya pengunjung, penonton tapi juga di kalangan peserta,” katanya.
Beliau berkata, perkara sama turut membabitkan program Ambang Hari Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos di Dataran Merdeka.
Fahmi berkata, KSN akan meneliti keadaan itu bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Meteorologi dan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, penilaian akan dibuat berdasarkan unjuran keadaan cuaca bagi tempoh lima hingga enam hari akan datang termasuk senario berkaitan jerebu.
“Jadi akan diputuskan insya-Allah pada hari ini.
“Kita tidak akan batalkan, tetapi sama ada skalanya berubah ataupun diubah lokasi, tapi kita tunggu hasil mesyuarat Tan Sri KSN petang ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPM turut akan dirujuk kerana sambutan berkenaan membabitkan kira-kira 1,500 peserta human graphic dalam kalangan pelajar sekolah menengah dari tiga negeri.
Menurutnya, perubahan lokasi merupakan antara cadangan yang akan dipertimbangkan, namun kesesuaian lokasi dan faktor lain perlu diteliti terlebih dahulu.
“Itu salah satu cadangan tetapi kita akan teliti kesesuaian lokasi dan juga pertimbangan-pertimbangan lain.
“Jadi kita tunggu kenyataan daripada Tan Sri KSN,” katanya.





